PENGUMUMAN
PENGUMUMAN
Visi SKHMC - Melonjakkan kecemerlangan individu melalui pendidikan berasaskan kurikulum, kokurikulum dan sahsiah yang berkualiti di dunia dan di akhirat. Misi SKHMC - Kami bertekad untuk bersama-sama melaksanakan sistem pendidikan yang cemerlang. Ini adalah bertujuan untuk menjadikan negeri Perak sentiasa di puncak kecemerlangan dalam bidang : 1. Pengurusan dan kepimpinan yang cekap, berkesan dan telus. 2. Akademik yang berasaskan pengurusan yang berkualiti bagi mencapai keputusan peperiksaan awam yang terbilang. 3. Sahsiah yang berasaskan program pembangunan insan. 4. Program sukan yang berasaskan pendekatan saintifik dan inovatif. 5. Kokurikulum yang berasaskan pembinaan generasi bestari, jati diri dan integrasi nasional.

Blog ini mula dibina pada 1 Disember 2009. Sehingga kini, blog ini telah dikunjungi melebihi 40,000 kali pengunjung ................ Penulis blog mengucapkan terima kasih atas kunjungan anda .................... Blog ini mula dibina pada 1 Disember 2009. Sehingga kini, blog ini telah dikunjungi melebihi 40,000 kali pengunjung ................ Penulis blog mengucapkan terima kasih atas kunjungan anda .................... Blog ini mula dibina pada 1 Disember 2009. Sehingga kini, blog ini telah dikunjungi melebihi 40,000 kali pengunjung ................ Penulis blog mengucapkan terima kasih atas kunjungan anda .................... Blog ini mula dibina pada 1 Disember 2009. Sehingga kini, blog ini telah dikunjungi melebihi 40,000 kali pengunjung ................ Penulis blog mengucapkan terima kasih atas kunjungan anda .................... Blog ini mula dibina pada 1 Disember 2009. Sehingga kini, blog ini telah dikunjungi melebihi 40,000 kali pengunjung ................ Penulis blog mengucapkan terima kasih atas kunjungan anda ....................

Selasa, 31 Ogos 2010

Perutusan Kemerdekaan kali ke-53 (KPPM)

PERUTUSAN
Y.BHG. TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
BERSEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN
KE-53 TAHUN 2010
Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Sempena Hari Kemerdekaan ke-53, marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat-Nya kita dapat menyambut hari kemerdekaan. Tema sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini ialah 1Malaysia: Menjana Transformasi. Maka perpaduan kaum adalah penting untuk membina sebuah negara bangsa yang aman dan sejahtera. Perpaduan yang kita kecapi ini tidak ternilai harganya bagi memastikan pembangunan modal insan yang kamil dan seimbang. Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha melaksanakan transformasi kurikulum kebangsaan yang menuntut guru-guru menyesuaikan diri dengan perubahan baharu itu bagi merealisasikan hasrat murni tersebut. Transformasi kurikulum kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan insan yang berilmu, berkualiti dan berketerampilan dalam apa-apa bidang sekalipun demi pembangunan bangsa dan negara. Kelahiran modal insan yang cemerlang menuntut kerjasama dan persefahaman antara pendidik dengan anak didik. Oleh hal yang demikian, guru selaku pendidik yang berwibawa perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran terkini. Anak didik pula perlu lebih berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan. Kecemerlangan yang kita raih berupaya melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama yang dapat meneruskan kegemilangan bangsa setelah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang merupakan transformasi dalam sistem pendidikan negara. Sesungguhnya dasar pendidikan negara kita berpandukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang kamil dan seimbang. Justeru dalam mencapai matlamat melahirkan modal insan yang akan mengisi keperluan untuk memajukan ekonomi negara pada masa hadapan, kita bukan sahaja menekankan aspek penguasaan ilmu dan kemahiran tetapi juga keterampilan dan keperibadian insan yang mulia. Oleh itu, murid-murid perlulah berusaha untuk menjadi pelajar yang mampu menghadapi cabaran transformasi ini. Seterusnya YAB Perdana Menteri Malaysia menjadikan perluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan sebagai salah satu daripada enam bidang yang terkandung dalam NKRA. Pengenalan NKRA Pendidikan ialah sebahagian daripada proses transformasi dalam sistem pendidikan negara yang akan melonjakkan lagi kecemerlangan pendidikan di negara ini yang meliputi kawasan bandar mahupun luar bandar . Dengan langkah ini, sistem pendidikan di negara kita akan terus berkembang dan memberikan keuntungan kepada rakyat Malaysia. Seperkara lagi, pada akhir tahun 2012, Kementerian Pelajaran Malaysia ingin memastikan semua murid normal boleh menguasai asas kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah, memperbanyak sekolah berprestasi tinggi dan memperkenalkan tawaran baru (bai’ah) kepada pemimpin sekolah dengan hasrat untuk meningkatkan profesionalisme dalam pengurusan dan kecemerlangan sekolah. Program LINUS dilaksanakan dengan membawa niat murni Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memastikan pendidikan yang diberikan menerusi sistem sedia ada mampu menjadikan kanak-kanak di negara ini, menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira dalam tempoh tiga tahun selepas memasuki gerbang persekolahan sekolah rendah.
Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,
Sebagai pewaris kepimpinan negara, murid-murid perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu yang berfaedah dan mengelakkan diri daripada gejala sosial. Murid-murid perlu berfikiran positif dan memperkasakan jati diri bagi menjamin kecemerlangan hidup pada masa depan. Justeru, peranan guru adalah untuk memastikan murid-murid berakhlak mulia dan mempunyai sahsiah diri terpuji. Keunggulan diri murid-murid ini dapat menghindarkan 3
murid-murid daripada terjebak dalam gejala sosial yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Di samping itu, semangat patriotik juga mesti dipupuk sejak murid-murid di sekolah rendah lagi. Saya berharap agar perpaduan kaum dapat disemai dalam jiwa anak didik kita melalui bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Oleh itu, kita perlu memartabatkan bahasa Melayu kerana bahasa pakaian bangsa. Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Bertitik tolak daripada hal tersebut, kita perlu bekerja keras bagi mempersadakan bahasa Melayu ke mercu dunia. Pencapaian yang cemerlang oleh murid-murid memerlukan pembacaan yang luas. Membaca jambatan ilmu, maka murid-murid perlu memupuk sikap suka membaca pada diri masing-masing kerana bangsa membaca, bangsa berjaya. Hal ini bermakna guru selaku pendidik juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan mempunyai pemikiran yang kreatif serta inovatif. Sebagai guru, mereka berupaya menterjemah idea di sebalik transformasi kurikulum nasional bergagaskan konsep 1Malaysia kepada amalan pengajaran yang lebih bermakna di kelas agar anak didik berada dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Menyedari minat membaca murid semakin bertambah, Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan Program Kem Membaca 1Malaysia sebagai kesinambungan program NILAM yang dijalankan dengan bermatlamat memupuk semangat membaca bagi melahirkan rakyat Malaysia yang progresif dan dinamik. Kerajaan mahu merealisasikan hasrat negara sebagai negara maju seiring dengan pembangunan minda masyarakatnya tanpa mengira kaum dan geografi tempat tinggal mereka.
Secara umumnya dalam pendidikan rendah dan menengah, bidang pendidikan mencakupi kurikulum dan kokurikulum amat penting dan mestilah seiring bagi mengembangkan idea dan pemikiran pelajar. Badan yang cergas dan otak yang cerdas, memerlukan kepintaran intelek, kebolehan memimpin, bekerjasama dan sabar menghadapi cabaran hidup. Seterusnya aktiviti kokurikulum ini memberikan peluang kepada pelajar 4
untuk terus bergiat dalam sukan dan sememangnya ini menyumbang 10 peratus untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi pelajar sekolah menengah dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi sekolah rendah. Usaha ini dapat mengurangkan masalah salah laku dalam kalangan murid apabila mereka aktif bersukan.
Warga sekolah yang dikasihi,
Pendidikan alam sekitar merupakan tanggungjawab guru dalam melahirkan murid yang cinta akan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Kemerdekaan yang kita kecapi tidak akan sempurna sekiranya alam sekitar tercemar. Oleh itu, guru haruslah memikul amanah bagi melahirkan murid yang cinta akan alam sekitar. Hal ini demikian kerana mereka merupakan aset negara pada masa hadapan. Maka didiklah mereka untuk mencintai alam sekitar yang semakin tercemar supaya kita terhindar daripada bencana alam. Kita perlu bersama-sama berusaha untuk memelihara alam ciptaan Tuhan supaya menjadi warisan untuk generasi akan datang. Tema 1Malaysia: Menjana Transformasi diharapkan menjadi penyemarak semangat kepada semua warga pendidik dan murid untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan dapat mengeratkan hubungan antara kaum, bagai aur dengan tebing. Maka kerjasama dan sikap saling menghormati antara semua kaum di Malaysia perlu dikekalkan supaya negara akan sentiasa aman, damai dan harmoni. Marilah kita bersama-sama menghayati tema kemerdekaan dengan penuh kesedaran demi negara kita yang tercinta. Saya berdoa agar nikmat kemerdekaan yang kita kecapi akan berterusan.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN NEGARA YANG KE- 53.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh Putrajaya 31 Ogos 2010

Perutusan Kemerdekaan kali ke-53 (Dato' Sri Mohd Najib)

PERUTUSAN HARI KEMERDEKAAN KE-53 OLEHYAB DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAKPERDANA MENTERI MALAYSIAPADA 30 OGOS 2010 (ISNIN) '1MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI NEGARA'
Bismillahirrahmanirrahim.Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, esok, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-53.
2. Dalam tempoh lebih lima dekad kemerdekaan, kita dapat menyaksikan pelbagai perubahan yang telah dialami tanah air tercinta. Dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, Malaysia telah tumbuh berkembang menjadi sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.
3. Sesungguhnya, perubahan ini tidak datang bergolek atau ibarat bulan jatuh ke riba. Sebaliknya, kejayaan yang dinikmati adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan. Ia juga manifestasi keberanian dan kesanggupan kerajaan serta rakyat untuk meneroka jalan dengan langkah yang progresif.
4. Sejarah memperistiwakan bahawa, bapa-bapa kita peneroka kepemimpinan negara, tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar mana pun cabaran yang melanda. Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat. Almarhum Tunku dan para sahabat misalnya tidak rela untuk terus menjadi warga negara terjajah. Allahyarham Tun Razak dan rakan-rakan pula tidak membiarkan Malaysia pasca tragedi 13 Mei hilang harapan. Allahyarham Tun Hussein dan taulan tidak bersimpuh menyerah, bahawa, keganasan komunisme tidak dapat ditewaskan. Manakala Tun Dr. Mahathir dan handai seperjuangan tidak mahu menerima kebijakan lazim bahawa sebuah negara pertanian tidak mampu berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden dengan infrastruktur berkelas dunia. Seterusnya Tun Abdullah pula, berusaha memupuk modal insan sebagai landas kejayaan negara bangsa.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
5. Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo yang sedia ada dan kesanggupan berubah, pendahulu-pendahulu kita telah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara. Hari ini, tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil yang melampaui kebiasaan.
6. Justeru, cabaran sebenar kita hari ini adalah untuk mentransformasikan Malaysia supaya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ke arah itu, kita telah pun memasakkan asas-asas yang kukuh dalam bentuk pelan transformasi kerajaan atau GTP dan pelan transformasi ekonomi yakni ETP sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah matlamat mulia tersebut.
7. Sememangnya, Malaysia yang aman, maju dan makmur akan mendatangkan nikmat kepada semua rakyat. Bagi maksud ini kita perlu menggembleng setiap bakat yang ada di kalangan rakyat Malaysia. Setiap seorang anak Malaysia adalah penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran dan kesejahteraan nasional.
8. Lalu, sudah tiba masa kita memanfaatkan sepenuhnya bakat-bakat tempatan yang ada. Alangkah ruginya negara jika bakat-bakat yang kita latih dengan segala susah payah berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang. Ini kerana fenomena globalisasi bukan sahaja menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan tetapi juga ia melibatkan pengaliran bebas modal insan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
9. Di atas segalanya, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mestilah mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini. Teras perpaduan kita haruslah bersifat mapan. Untuk itu, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum sepertimana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni rukun negara dan termaktub dalam perlembagaan persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.
10. Kita tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan diasak oleh budaya kejumudan serta sikap melampau yang terjelma melalui isu-isu perkauman serta agama. Segala apa yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai, boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada.
11. Maka, saya yakin lagi percaya, semua rakyat Malaysia cintakan keamanan, mahukan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
12. Ketahuilah bahawa, kerajaan yang ada amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada dari ancaman dalam mahupun luaran.
13. Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan kita akan bersemadi.
14. Oleh itu, saya ingin menyeru semua warga Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ke-53 ini untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk menjadikan Malaysia negara yang terbaik di mana yang mengehadkan kejayaan kita hanyalah bakat dan kesanggupan untuk bekerja keras.
15. Akhir kata, demi masa depan anak-anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, Janganlah yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat. Merdeka, Merdeka, Merdeka.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dato' Sri Mohd Najib
Putrajaya
30 Ogos 2010

Khamis, 12 Ogos 2010

Rabu, 4 Ogos 2010

Mesyuarat PIBG

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia,

Mesyuarat JK PIBG seperti ketentuan yang berikut:

Tarikh : 4.8.2010
Masa : 3.30 petang
Tempat : Bilik Gerakan SKHMC

Sekian, terima kasih.

Jadual Penilaian Sekolah 2

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia,

Jadual Penilaian Berasaskan Sekolah untuk rujukan.

Sekian, terima kasih.

Profil Guru Kokurikulum

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia,

Diminta jasa baik guru SKHMC untuk mengisi borang Profil Guru Kokurikulum dan kembalikan kepada PK Kokurikulum SKHMC dengan segera.

Sekian, terima kasih.

Isnin, 2 Ogos 2010

Pertandingan Robotik di Taiping

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia,

SKHMC mendapat tempat ke-9 peringkat negeri Pertandingan Robotik. Pihak sekolah mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada En. Ahmad Kamil dan para pelajar yang telah menyertai pertandingan ini.

Sekian, terima kasih.

Pertandingan Bola Baling Antara Kelas

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia,

Pertandingan ini dijalankan sepanjang minggu mulai 2 Ogos 2010 jam 3.0 petang hingga 6.00 petang di padang SKHMC.

Sekian, terima kasih.

Mukhayyam di SK Jelapang, Ipoh.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Laporan Mukhayyam di SK Jelapang pada 30.7.2010 & 31.7.2010.

Para peserta Mukhayyam.

Sekian, terima kasih.

Jumaat, 23 Julai 2010

Pertandingan Bola Sepak Antara Kelas

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia,

Pertandingan Bola Sepak antara kelas akan dijalankan mulai 26 Julai 2010 hingga 30 Julai 2010 untuk pelajar Tahun 4 dan tahun 5. Perlawanan bermula jam 3.00 petang hingga 6.00 petang. Tujuan pertandingan untuk memilih pelapis bagi pasukan tahun akan datang untuk mempertahankan gelaran juara Daerah Kinta 2010.

Sekian, terima kasih.

UEREKA (Ke-3 Daerah Kinta)

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia,

Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada pelajar dan guru-guru yang terlibat bagi pasukan EUREKA kerana telah mendapat tempat ketiga peringkat Daerah Kinta.

Sekian, terima kasih.